Sakit dada biasa atau serangan jantung (Sumber Utusan Malaysia)
ADAKAH tekanan tidak selesa yang anda rasai di dalam dada sepanjang
bahagian depan tubuh dari paras abdomen atas ke leher berpunca daripada
hidangan makan malam yang terlalu pedas dan berempah?Ataupun, ia menjadi amaran bahawa anda mungkin diserang penyakit jantung?
Mengetahui tanda-tanda serangan jantung boleh membantu anda membuat
keputusan pantas – keputusan yang
boleh menyelamatkan nyawa anda atau nyawa orang tersayang.
Sama ada, ketidakselesaan tersebut merupakan sakit dada biasa yang hanya
memerlukan rawatan dalam bentuk ubat-ubatan antasid atau ia merupakan sakit
dada yang memerlukan anda berjumpa doktor dengan segera.Namun, ada kalanya bukan mudah bagi menentukan sama ada sakit dada yang
berlaku adalah disebabkan oleh serangan jantung atau masalah-masalah lain.
Contohnya, kesakitan yang berkaitan dengan serangan jantung kerap
disalahtafsirkan dengan ketidakcernaan atau senak yang boleh dilegakan dengan
antasid sahaja. Sebaliknya, individu yang mengadu sakit pedih hulu hati sering kali
menyangkakan ia berpunca daripada sakit jantung.
Walaupun sakit dada sinonim sebagai tanda amaran utama berlakunya serangan
jantung, berita baiknya, bukan kesemua sakit dada termasuk di dalam golongan
ini.
Malah, terdapat pelbagai masalah lain yang boleh menjadi puncanya. Ada yang
menyebabkan sedikit ketidakselesaan biasa sahaja manakala selebihnya adalah
serius dan mengancam nyawa. Apa-apa jua organ mahupun tisu di dalam dada anda boleh menjadi punca
kesakitan dari jantung ke paru-paru, esofagus, otot-otot, tulang rusuk, tendon,
hinggalah ke saraf dan kulit.Contohnya, jika sakit dada meningkat apabila anda menekan hujung jari pada
bahagian yang sakit, ia mungkin menandakan ketegangan otot, ligamen atau mungkin
juga tulang rusuk yang patah.
Keradangan rawan di dalam tulang dada, satu keadaan yang dikenali sebagai
costochondritis (sakit sendi rusuk) juga boleh mencetuskan sensasi sakit.
Kesakitan dinding dada lazimnya mengambil masa beberapa hari sahaja dan boleh
dilegakan dengan aspirin atau ibuprofen.
Sakit yang menyucuk-nyucuk selama beberapa saat pada penghujung nafas yang
dalam lazimnya tidak membimbangkan. Hiperventilasi atau pernafasan pada kadar
yang terlalu cepat semasa rehat juga boleh menyebabkan sakit dada.
Lain-lain penyebab sakit dada termasuklah pleurisi iaitu keradangan di
sekeliling membran paru-paru dan, radang paru-paru (pneumonia). Kedua-duanya
boleh menjadi bertambah teruk ketika batuk. Kayap juga boleh menyebabkan sakit
yang terasa menusuk, panas terbakar atau digigit, seperti getah yang diikat
ketat pada dada.
Kudis atau ulser pada lapisan perut atau usus kecil selalunya menyebabkan
kesakitan di bawah tulang dada yang semakin teruk semasa perut kosong manakala
pedih hulu hati di mana asid perut bergerak songsang ke atas memasuki esofagus
atau, senak juga boleh menyebabkan sakit dada.
Batu karang boleh mendatangkan kesakitan di sebelah kanan dada atau sekitar
bahu yang bertambah mudarat selepas makan terutamanya makanan berlemak atau,
pada tengah malam.
Sementara itu, mereka yang mengadu sakit dada tetapi tidak menunjukkan
sebarang punca fizikal sering kali mendapat markah yang tinggi menerusi ujian
bagi darah gemuruh atau panik.
Dalam kes-kes yang jarang berlaku, kanser yang melibatkan bahagian dada
atau yang sudah merebak boleh menyebab sakit dada manakala di kalangan
kanak-kanak, kebanyakan sakit dada tidak berkaitan dengan jantung.
Jadi, apakah perbezaannya dan bagaimana pula untuk menentukannya? Pakar
Runding Kardiologi, Hospital Pakar Putra, Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz
mempunyai butiran lanjut.
“Seseorang itu
dikatakan mendapat serangan jantung apabila otot jantungnya tidak mendapat
bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh arteri koronari menjadi sempit.
“Ia juga boleh
terjadi apabila bekalan tersebut terputus sama sekali mengakibatkan sebahagian
daripada otot itu telah mati atau mengalami nekrosis dan gagal berfungsi,’’ ujar beliau.
Menurutnya, ini terjadi apabila berlakunya pengumpulan sejenis lemak atau
plak yang melekat pada dinding saluran darah yang lamakelamaan menyempit atau
menyekat pengaliran darah ke jantung.
Apabila ini berlaku, serangan awal jantung bermula. Tanda-tanda serangan
jantung ini berpanjangan lebih daripada 15 minit. Serangan jantung ini mungkin
berkurangan atau berhenti seketika dan kemudian berulang semula.
“Sakit dada yang
disebabkan oleh penyakit jantung biasanya menyerang di antara 10 minit hingga
setengah jam. Kadangkala, kesakitan itu berpanjangan sehingga berjam-jam
lamanya kalau tidak dirawat.
“Ia mungkin
disebabkan oleh aktiviti atau emosi yang kuat atau boleh juga menyerang tanpa
perlu ada sebab-sebabnya yang tertentu,’’ kata Dr. Nor Izham.
Sakit jantung biasanya terasa amat mencengkam dan menyucuk-nyucuk di
bahagian dada terutamanya di tengah-tengah dan sebelah kiri dada.Kemudian, sakit ini menular ke anggota lengan, leher dan dagu yang
selalunya disangka sakit gigi, menjalar ke bahagian belakang dan perut (pesakit
mungkin menyangka ia sakit gastrik).Lain-lain gejala serangan jantung termasuklah sesak nafas, keletihan, badan
berpeluh dan kadangkala terasa loya, jantung berdebar dan pitam.
Dr. Nor Izham memberitahu, kebanyakan mereka yang mendapat serangan jantung
tidak merasakan yang mereka sedang mengalami masalah tersebut dan sekadar
menganggapnya sebagai kesakitan yang tidak merbahaya.
“Jika ada
faktor-faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi atau tahap kolesterol
tinggi, kemungkinan sakit jantung lebih adalah tinggi.
“Kadangkala,
doktor sendiri sukar untuk menentukan sama ada seseorang pesakit itu diserang
penyakit jantung atau lain-lain punca,ujarnya.
Tambah beliau,
biasanya keadaan ini dipanggil sakit dada atipikal yang memerlukan penyiasatan
lanjut seperti elektrokardiogram (EKG) di mana kejadian elektrik jantung
dirakamkan di atas jalur kertas yang bergerak. Lain-lain penyiasatan
termasuklah ujian darah troponin.
Sentiasalah
menyimpan ubat aspirin di rumah atau pejabat untuk digunakan semasa serangan
jantung berlaku,’’ saran
beliau.
Kadang-kadang,
jelas Dr. Nor Izham lagi, pesakit tidak merasakan sakit dada (infark senyap)
disebabkan oleh penyakit kencing manis yang merosakkan saraf (neuropati
autoimun). Bagaimanapun, simptom-simptom lain seperti sesak nafas dan berpeluh
masih ada.
Infark merupakan
suatu tisu mati pada kawasan kecil setempat yang terjadi akibat bekalan darah
yang tidak mencukupi. Infark senyap adalah lebih berbahaya kerana tidak terasa
dan oleh itu, tidak diberikan rawatan.
Justeru, walau apa
pun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian
dan kerosakan yang kekal pada jantung yang boleh menjejaskan kualiti hidup
anda.
Sebab-sebab lain
sakit dada
* Masalah sistem
penghadaman seperti gastrik, ulser perut, penyakit pundi hempedu, batu karang,
senak, pedih hulu hati atau refluks gastroesofageal (GERD)
* Sakit sendi rusuk
(Costochondritis)Saraf (Spondilosis
Servikal, berkaitan tulang belakang)
* Pneumonia, darah
beku ke paru-paru (embolism pulmonari), udara dalam kaviti pleura akibat lubang
pada permukaan paru-paru atau dinding dada yang menyebabkan paru-paru jatuh
(pneumotoraks) dan pleurisi.
Dalam kes-kes
sebegini, sakit dada selalunya bertambah buruk jika anda menarik nafas
dalam-dalam atau batuk dan selalunya terasa menyucuk dan mendadak.
* Asma yang
diiringi dengan nafas tercungap-cungap, ronkus (bunyi pernafasan bernada
rendah) dan batuk
* Darah gemuruh, panik dan hiperventilasi.
Jika sakit kuat atau ada gejala-gejala lain seperti sesak nafas dan
berpeluh, segeralah berjumpa doktor.
Diagnosis
- Ujian stres
- Imbasan ekokardiogram
- Angiogram iaitu pemeriksaan pembuluh
darah melalui sinar X.
Rawatan
- Pil Aspirin
- Pil Plavix
- Pil glyceryl trinitrate (GTN) yang diletakkan
di bawah lidah
- Suntikan
streptokinase untuk mencairkan darah beku pada saluran jantung
- Pembedahan
belon angioplasti boleh dilakukan bagi mengembangkan saluran darah yang
sempit atau tersumbat
Pencegahan dari serangan sakit jantung
- Jangan
merokok
- Ambil
pemakanan atau diet sihat
- Amalkan
senaman, gaya hidup sihat
- Kawal
berat badan
- Kawal
tekanan darah tinggi
- Kawal tahap kolesterol darah
- Kawal penyakit kencing manis
- Uruskan
stres atau tekanan mental dengan baik
- Lakukan
pemeriksaan perubatan tahunan termasuk EKG dan ujian stres bagi mereka
yang berumur 45 tahun ke atas.