Apa Itu Stress?
Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress
atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi yang tidak
spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.”
(Dr. David B. Posen (Lifestyle Counselor and Psychotherapist) ; Stress)
‘Bebanan’ ini boleh wujud di dalam bentuk ancaman, cabaran ataupun apa-apa
perubahan di dalam hidup seseorang yang memerlukan pengubahsuaian yang selari
dengannya. Ada tekanan perasaan yang baik lagi positif dan ianya dinamakan
sebagai “eustress” dan ada pula yang buruk lagi negatif dan ia dinamakan
sebagai “distress.” Tekanan yang positif amat kita perlukan di dalam hidup kita
untuk menjadikan kita lebih berhati-hati, terangsang, kreatif dan lebih
memberikan tumpuan dan perhatian kepada apa yang sedang kita lakukan.
Sebenarnya banyak penemuan dan ciptaan oleh saintis-saintis telah berlaku di
saat mereka tertekan dengan masalah-masalah tertentu. Contohnya, ketika
Alexander Graham Bell sedang berusaha untuk membantu tunangnya, Mable Hubbard,
yang telah hilang pendengarannya, beliau telah berjaya mencipta telefon yang
telah meledakkan sistem telekomunikasi pada hari ini. (Stephen C. Phillips, The
Ten Laws Of Success)
Apakah
Yang Berlaku Ketika Stress?
Ketika stress, badan kita akan mengeluarkan
satu hormon rangsangan yang bernama ‘adrenaline’ kedalam saluran darah kita. Hormon ini
bersama-sama dengan beberapa hormon yang lain akan menyebabkan beberapa
perubahan berlaku di dalam tubuh kita sebagai persiapan untuk melindungi kita.
Di antara perubahan-perubahan itu ialah denyutan jantung bertambah laju dan
tekanan darah akan meningkat (untuk mengepam lebihan darah kepada otak, otot
dan jantung); gula, lemak dan kolesterol di dalam darah akan bertambah (untuk
memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang akan lebih laju
(untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan begitulah seterusnya.
Perubahan-perubahan ini berlaku secara tabii selari dengan keperluan tubuh kita
ketika itu. Walaubagaimanapun, jika stress atau tekanan berpanjangan di dalam
hidup kita dan kita pula tidak bijak untuk mengurusnya, ia akan bertukar
menjadi ‘distress’ yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit tertentu menimpa
kita.
Apakah
Tanda-Tanda / Gejala Umum Stress?
Manifestasinya
adalah berbagai-bagai dan ia boleh dikategorikan kepada empat bahagian :
Fizikal : Keletihan, pening kepala, susah
tidur, sakit-sakit badan terutamanya di kawasan bahu dan belakang, degupan
jantung yang kuat, sakit dada, meloya, ketar badan, sejuk tangan dan berpeluh.
Mental : Hilang tumpuan, mudah lupa, susah
untuk membuat keputusan, tidak boleh berfikir, celaru pemikiran dan tidak boleh
berjenaka.
Emosi : Risau, sentiasa bimbang, sugul,
marah, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, mudah hilang sabar dan panas
baran.
Perangai: Keluh-kesah, lahir tabiat
seperti menggigit kuku dan menggedik-gedikkan kaki, makan yang berlebihan,
merokok, minum arak, menjerit-jerit, maki hamun, mengungkit-ungkit dan
menyalahkan orang lain serta bertindak agresif.
Masalah Kesihatan Dan Penyakit-penyakit
Yang Berpunca Dari Stress
Sakit jantung dan angin ahmar (stroke).
Stress akan menambahkan asid lemak (fatty acids) di dalam darah dan bahan-bahan
ini akhirnya akan bertukar menjadi lemak asli dan kolesterol yang akan menutupi
saluran pembuluh darah. Stress juga akan meninggikan tekanan darah di samping
memudahkan proses pembekuan darah. Semua ini merupakan perubahan-perubahan yang
boleh menyebabkan serangan sakit jantung dan angin ahmar berlaku. (Health Education Associates, 1996; Stress
and Heart Disease)
Insomnia
atau susah tidur.
Stress boleh menyebabkan masalah susah tidur dan susah tidur
boleh menyebabkan stress, satu pusingan yang amat membinasakan. Di Amerika
saja, jumlah mereka yang diserangi masalah ini menghampiri jumlah 36 hingga
ke-62 juta orang. (Jeff
Davidson, 1977; The Complete Idiot’s Guide To Managing Stress)
Kencing manis.
Kesugulan dan tekanan hasil
dari stress akan menambahkan kadar gula di dalam darah dan ini boleh membawa
kepada penyakit kencing manis atau menerukkan keadaan pesakit yang telahpun
mengidapnya. (Carol E. Watkins; Northern County Psychiatric Associates; 1998)
Gastrik dan ulser.
Penyakit-penyakit pada
sistem penghadaman seperti gastrik dan ulser juga mudah berlaku keatas seorang
yang mengidap stress disebabkan oleh peningkatan pengeluaran asid ketika
diserangi stress, terutamanya, jika ia
menyebabkan kemurungan dan kemarahan yang bersangatan. (Ballieux, R.E., 1984;
Breakdown in human adaptation to stress)
Infeksi atau jangkitan kuman.
Tekanan atau
stress juga akan menyebabkan pengeluaran bahan-bahan ‘catecholamines’ seperti
‘epinephrine’ dan ‘norepinephrine’ ke dalam darah. Bahan-bahan ini
berperanan melemahkan sistem pertahanan badan dan ini sekaligus akan memudahkan
kuman-kuman untuk menyerang dan menyebabkan penyakit-penyakit. (Stress and the
Immune System by Hannah Koenker, 1994) Kajian juga telah menunjukkan bahawa
keadaan stress akan meningkatkan peratus kemungkinan seseorang itu dijangkiti
kuman di sekitar 74 ke-90% dan dijangkiti virus selsema di sekitar 27 ke-47%.
Stress juga akan memudahkan virus yang tidak aktif menjadi aktif semula. (Brosschot, J.F., Benschop, R.J., Godaert,
G.L.R., Olff, M., De Smet, M., Heijnen, C.J., Ballieux, R.E., 1994; Influence
of life stress on immunological reactivity to mild psychological stress:
Psychosomatic Medicine)
Asthma.
Ketika menghadapi stress, pesakit yang mengidap lelah akan mudah diserangi oleh
penyakit ini disebabkan oleh sistem pertahanan badan yang menurun ketika itu,
yang akan memudahkan reaksi-reaksi tertentu berlaku di dalam darah yang
akhirnya menyebabkan lelah. (Elliott G.R., Eisdorfer C., 1982; Stress and Human
Health)
Di
samping itu, kajian telah menunjukkan bahawa stress juga adalah penyebab kepada
beberapa penyakit yang lain seperti darah tinggi, sakit sendi (rheumatoid
athritis), cirit-birit dan sakit usus (irritable bowel syndrome and ulcerative
colitis), mandul dan alahan kulit. (Dr. Maria A. Smith, UTC School of Nursing ;
Advanced Pathophysiology: Stress & Disease, Chapter 9)
0 comments:
Post a Comment