SERING kita membuat pelbagai tanggapan
apabila berdepan dengan masalah berat badan, kemurungan, keletihan, cepat
marah, sakit otot, sakit sendi, masalah tidur dan stres. Adakah ia mempunyai kaitan dengan keadaan
persekitaran, pola pemakanan, tabiat dan gaya hidup ataupun kerana menghidap
penyakit tertentu?
Masalah tersebut merupakan beberapa
perubahan negatif yang menjejaskan kesihatan ramai wanita, sama ada dalam
lingkungan usia 20-an, 30-an mahupun 40-an. Lelaki juga tidak terkecuali.
Seringkali simptom-simptom itu mudah
dikaitkan dengan sikap malas atau kegagalan menyusun rutin harian secara
rasional. Hakikatnya, ramai yang tidak menyedari bahawa ia berlaku kerana
masalah ketidakseimbangan hormon.
Hormon memberikan pengaruh yang besar pada
tubuh badan, cerminan penampilan dan emosi. Badan manusia bergantung pada
hormon untuk tidur, bangun pagi setiap hari, berfikir dengan jelas, membantu
pertumbuhan, mengekalkan kesihatan, berat badan dan paras rupa.Ia juga mempengaruhi mood, kemampuan
seksualiti, keinginan seksualiti, kesuburan, kulit, rambut, penglihatan dan
suhu badan. Pendek kata, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tubuh
badan dan minda.
Namun, bermula umur 25 tahun, manusia
mengalami kemerosotan perlahan dalam pengeluaran hormon lalu menyebabkan
penurunan fungsi normal tubuh dan penuaan.
“Banyak penyakit berpunca daripada
ketidakseimbangan hormon. Antaranya ialah letih, murung, darah tinggi,
kegemukan, masalah tidak boleh tidur, obesiti dan malas. “Tidak terkecuali adalah masalah tidak
subur, lesu, mudah keguguran, haid tidak betul, migrain dan senggugut,” ujar
Pakar Antipenuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetik, Dr. Wan Julia Sham
Ariffin.
Peningkatan usia
Jelas Wan Julia, ketidakseimbangan hormon
terjadi kerana beberapa faktor penyebab iaitu peningkatan usia, pemakanan tidak
sihat, kurang senaman, pencemaran alam sekitar, kebisingan dan juga radiasi.Akibatnya, berlaku gangguan yang
menyebabkan komunikasi antara sel melalui hormon menjadi kurang efektif lalu
menyumbang kepada mutasi sel. Keadaan itu sekali gus menyebabkan kemerosotan
tahap imunisasi.
Wan Julia menambah, ramai doktor kini
tidak mengaitkan sesuatu penyakit itu dengan hormon. Sebaliknya, mereka hanya
merawat pesakit tanpa melihat penyebabnya.
"Dalam badan kita mempunyai pelbagai
hormon iaitu hormon estrogen, hormon pertumbuhan manusia, melatonin,
pregnenolon, progesteron, testosteron, kortisol, dehidroepiandrosteron (DHEA)
dan tiroid. Setiap daripadanya mempunyai fungsi unik.
MASALAH keletihan dan lesu adalah petanda
bahawa seseorang itu mempunyai masalah hormon.
“Misalnya, hormon estrogen dan progesteron adalah untuk sistem reproduktif wanita manakala testosteron pula untuk lelaki. Pregnenolon untuk ingatan, kortisol untuk imuniti dan stres,” ujarnya.Wan Julia memberi senario contoh; merawat seseorang yang tidak boleh tidur dengan ubat tidur hanya akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan stres kerana masalah tersebut akan sentiasa berulang.
Mereka seharusnya memastikan paras
melatonin, kortisol, progesteron dan serotonin berada pada paras optimum
terutamanya bagi wanita yang berada dalam lingkungan usia pramenopaus atau
menopaus.
"Kekurangan hormon akan menyebabkan
seseorang itu tua sebelum masanya. Individu itu juga bakal berhadapan dengan
pelbagai jenis penyakit seperti sakit sendi, sakit pinggang, kuku pecah, stres,
lingkaran hitam bawah mata dan muka cengkung,” katanya sambil memberitahu
kekurangan atau berlebihan hormon tidak baik untuk kesihatan seseorang.
Faktor penyumbang
Banyak perkara yang boleh menyumbang
kepada masalah ketidakseimbangan hormon iaitu tekanan daripada persekitaran,
toksik, makanan, dadah, alkohol, bahan kimia dan makanan segera.
“Makanan segera boleh menyebabkan obesiti
kerana ia mengandungi banyak gula yang akan menyerang insulin sekali gus
mempengaruhi paras kortisol, estrogen dan progesteron. “Ia berakhir dengan sindrom metabolik
seperti kencing manis, kolesterol tinggi, obesiti dan darah tinggi,” ujarnya.
Menurut Wan Julia, hormon-hormon di dalam
badan memerlukan mineral yang seimbang, vitamin dan antioksidan untuk
berfungsi.
Senaman juga merupakan salah satu cara
untuk menggalakkan pengeluaran hormon. Malangnya, kebanyakan orang pada hari
ini tidak mempunyai masa untuk bersenam tetapi ada masa pula untuk berjumpa
doktor dan ambil ubat-ubatan.
Wan Julia sempat mengulas mengenai masalah
gemuk tanpa sebab dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang sibuk
diperkatakan kini.“Ramai yang terlepas pandang bahawa ia
adalah masalah ketidakseimbangan hormon. Mereka sebaliknya menuding jari kepada
pesakit, dan kemudian hanya merawat simptom penyakit tetapi tidak mempedulikan
puncanya.
Golongan berisiko
Mereka yang terlalu sibuk dan tiada masa untuk menjaga kesihatan serta tiada masa untuk beriadah mempunyai kecenderungan untuk berdepan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.“Selain itu, orang yang tidak cukup tidur, orang gemuk, orang yang makan makanan segera, juga berisiko.
"Antara lelaki dan wanita, wanita lebih berisiko mengalami masalah ketidakseimbangan hormon kerana sistem tubuh wanita adalah lebih kompleks,” katanya.
Wanita yang tidak beranak turut dalam
senarai golongan berisiko kerana setiap kali mengandung, hormon akan meningkat
200 peratus iaitu 10 hingga 20 kali ganda tinggi daripada biasa. Jadi,
wanita-wanita yang tidak beranak berisiko berhadapan dengan masalah
ketidakseimbangan hormon.
Masalah ketidakseimbangan hormon boleh
diperbaiki atau dirawat dengan menyeimbangkannya melalui rawatan penggantian
hormon semula jadi (bioidentical hormone replacement therapy) dan bukannya
hormon sintetik.
Fungsi hormon sintetik adalah sama seperti
hormon semula jadi tetapi ia mempunyai struktur molekul yang berbeza. Tubuh
manusia lazimnya menerimanya sebagai benda asing namun reaksi dan tindak
balasnya boleh menyebabkan kanser.
Hindari simptom
“Begitupun, kita seboleh-bolehnya mahu
mengelakkan orang daripada pengambilan ubat-ubatan (dadah), maka mereka boleh
berikan penumpuan kepada senaman, nutrisi pemakanan seimbang dan hormon semula
jadi bagi memperbetulkan ketidakseimbangan hormon,” ujarnya.
Wan Julia memberitahu, sains membuktikan manusia
boleh lari daripada simptom-simptom penuaan dengan tiga cara iaitu senaman,
pemakanan sihat (suplemen) dan menyeimbangkan hormon (seimbangkan dengan hormon
dan bukannya dengan ubat).
“Bagaimana untuk mengetahui seseorang itu
mengalami masalah ketidakseimbangan hormon atau tidak? Seseorang itu akan
nampak tua berbanding usia, keletihan, kemurungan, tidak bersemangat, kurang
ceria, penampilan kurang menarik dan tidak bertenaga.
“Rawatannya mudah sahaja. Pertama sekali,
seseorang itu perlu membuat ujian darah yang komprehensif untuk lihat paras
hormon-hormon yang bermasalah. Bukan buat ujian darah biasa,” jelasnya.
Selepas doktor mengenal pasti hormon apa
yang kurang, seseorang pesakit itu akan diberikan hormon sama ada dalam bentuk
kapsul, pil, suntikan, krim ataupun patch selain diberi nasihat mengenai aspek
pemakanan, suplemen antioksidan serta jenis senaman yang perlu dilakukan.
Pesakit kanser dan mereka yang berisiko
kanser perlu lebih berhati-hati apabila mengambil rawatan hormon.Menurutnya, rawatan hormon bukan dilakukan
untuk jangka masa pendek kerana ada segelintir hormon perlu diambil sepanjang
hayat.
“Hormon yang digunakan dalam rawatan pula
bukannya hormon sintetik tetapi hormon semula jadi.
“Segala permasalahan ada penyelesaiannya.
Jika anda mempunyai tanda-tanda seperti yang diperkatakan, berjumpalah dengan
pakar antipenuaan untuk lihat sama ada paras hormon anda normal atau tidak,”
pesannya.
Sumber:Kosmo
0 comments:
Post a Comment