OBESITI DI MALAYSIA

 
 
 
 
 




Obesiti bermaksud jumlah berat badan berlebihan akibat kandungan lemak yang tidak terkawal. Ia boleh menyerang sesiapa sahaja tidak kira peringkat usia. Dianggarkan sebanyak enam peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah ini. Jika seseorang sudah mengalami masalah obesiti, secara automatik dia bakal berdepan dengan penyakit-penyakit berisiko tinggi seperti serangan jantung, diabetis, strok dan darah tinggi. Oleh itu, pengidap obesiti memerlukan pemantauan yang lebih dari sudut pemakanan, kesihatan dan sokongan.

Apakah Punca Obesiti

Hampir sebahagian besar masalah obesiti berpunca daripada faktor luaran iaitu pemakanan. Pemakanan yang berlebihan, terutamanya makanan yang mengandungi
kalori, lemak dan gula yang tinggi boleh menyumbang kepada masalah ini. Selain itu, sikap malas bersenam juga boleh menjadi penyebab. Apabila tubuh menerima makanan yang banyak, sepatutnya ia diimbangi dengan senaman yang berterusan.

Kesibukan bekerja dan sikap malas melakukan aktiviti atau gerakan antara faktor yang boleh menyebabkan kegemukan dan obesiti. Hal ini lebih ketara jika pengidap bekerja di pejabat dan kurang melakukan aktiviti kecergasan.

Selain makanan, punca obesiti boleh juga disebabkan oleh ubat-ubatan. Amalan mengambil sesetengah ubat-ubatan seperti steroid atau ubat tradisional Cina tanpa pengawasan doktor boleh mengakibatkan berat badan bertambah. Steroid yang berlebihan boleh menyebabkan diabetis dan hipertensi.

Faktor genetik juga turut memainkan peranan besar di dalam masalah ini. Terdapat beberapa gen dalam tubuh yang menyebabkan berat badan berlebihan. Sindrom-sindrom seperti Prader-Willi, Laurence Moon Biedl dan sebagainya boleh mengakibatkan obesiti. Jika ibu atau bapa seorang yang obesiti, tidak mustahil anak atau generasinya akan datang turut mengalami masalah serupa.
Munyukat Tahap Obesiti
Selain mengalami masalah berat badan berlebihan, tahap obesiti boleh diuji dengan cara berikut :
  1. Jika ukuran wanita melebihi 88 sentimeter = risiko tinggi mendapat penyakit dan dikategori dalam golongan obesiti.
  2. Bagi lelaki, jika ukuran melebihi 102 sentimeter = risiko tinggi untuk mendapat penyakit dan dikategori dalam golongan obesiti.

Secara terperinci, banyak implikasi yang akan timbul kesan daripada obesiti. Selain diabetis, sakit jantung, strok dan darah tinggi, banyak lagi penyakit serius yang boleh terjadi kerana masalah terlebih berat badan. Antara yang sering dikaitkan ialah kanser buah dada, kanser usus, gout, sakit sendi, masalah pernafasan (sindrom sleep apnea) dan masalah batu dalam hempedu. Bagi wanita pula, mereka mungkin mengalami kitaran haid yang tidak tetap dan masalah ketidaksuburan.
 
 
Obesiti dan kegemukan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 1 bilion penduduk dunia mengalami kegemukan ketika ini dan jumlah itu bakal mencecah 1.5 bilion pada 2015. Sekurang-kurangnya 20 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mengalami kegemukan pada 2005.

Punca asas obesiti dan kegemukan ialah ketidakseimbangan antara pengambilan kalori dan penggunaan kalori.

Peningkatan global kegemukan dan obesiti ini disebabkan oleh perubahan diet dengan pengambilan lebih banyak makanan yang bergula dan berlemak tetapi rendah vitamin, mineral dan mikronutrisi lain.

Selain itu, ia juga disebabkan kurangnya melakukan aktiviti fizikal disebabkan kemajuan sistem pengangkutan awam yang menyebabkan ramai tidak lagi gemar berjalan kaki atau berbasikal yang dapat membakar kalori.

Tidak lama dulu, WHO juga melaporkan mengenai kajian di Afrika Selatan pada 2003 yang mendapati pengambilan gula yang tinggi menjadi penyebab utama obesiti dan karies gigi. Kira-kira 20 peratus kalangan dewasa mengalami masalah obesiti, manakala sembilan peratus kanak-kanak turut mengalami masalah sama.

Mengikut garis panduan WHO, kegemukan berlaku apabila Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih 25 dan mereka yang melebihi bacaan 30 dikategorikan sebagai obesiti.

Diabetes

Selain obesiti, pengambilan gula berlebihan ditambah dengan tabiat malas bersenam juga mendedahkan seseorang itu kepada pelbagai risiko kesihatan. Misalnya, gula boleh menjejaskan platelet darah yang mungkin menjadi punca masalah jantung. Malah, gula turut menjadi antara penyebab Diabetes Jenis Dua, tulang rapuh, masalah ginjal, hati, kemurungan serta turut dikaitkan dengan tumor barah.

Sekadar perbandingan, pada 1996 seramai 6.5 peratus rakyat Malaysia berusia lebih 30 tahun disahkan menghidap diabetes. Sedekad kemudian, jumlah itu meningkat kepada 9.5 peratus. Lebih menakutkan, pada tahun sama dianggarkan kira-kira 1.5 juta orang yang berusia melebihi 18 tahun disahkan sebagai penghidap diabetes.

Malah, dalam tempoh 10 tahun akan datang, kira-kira 25 peratus warga Malaysia bakal menghidap diabetes jika tiada sebarang usaha pencegahan dibuat.

Walaupun diabetes dikaitkan dengan faktor genetik tetapi mengubah cara hidup mampu mencegah diabetes. Dari sudut perubatan, diabetes adalah kegagalan tubuh memproses gula dan kegagalan untuk menyingkirkannya dari salur darah. Justeru, kadar gula yang banyak dalam darah meningkatkan risiko sakit jantung dan strok atau angin ahmar, selain menyebabkan ginjal terjejas. Kadar gula yang tinggi juga menjejaskan sistem tubuh hingga menyebabkan buta.

Jangkitan kulat

Setiap satu sudu gula berupaya menekan sistem imun tubuh hingga enam jam lamanya. Gula juga menggalakkan pertumbuhan kulat di luar kawalan dalam sistem pencernaan. Kulat dikenali ‘candida albicans’ boleh merebak ke organ dalaman dan sistem pernafasan. Simptom paling biasa jangkitan kulat ini ialah jangkitan yis, masalah pencernaan atau lelah.

Bagi sesetengah orang, gula lebih menggemukkan berbanding lemak. Malah di kalangan kanak-kanak dan remaja, punca kalori yang utama ialah minuman berkarbonat dan jus yang mengandungi kandungan gula tinggi. Gula dalam bentuk cecair lebih banyak menimbulkan masalah kerana kita cenderung untuk mengambilnya dalam jumlah berlebihan.

Diet yang dipenuhi dengan pengambilan makanan tinggi kalori akan menyebabkan obesiti dan diabetes. Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti. Secara bersama, obesiti dan diabetes adalah faktor risiko utama masalah jantung.

0 comments:

Post a Comment